Najib panas Bersatu salahkan BN punca barang naik

Najib panas Bersatu salahkan BN punca barang naik

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenyataannya bahawa kenaikan harga barang ketika ini adalah disebabkan dasar-dasar kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

Ahli Parlimen Pekan itu turut membidas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memintanya tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kenaikan harga barang.

“Ketua Penerangan parti PPBM/PN merangkap penulis buku manifesto bukan kitab suci keluarkan kenyataan semalam untuk suruh saya jangan tuding jari.

“Tapi pihak dia boleh pula tuduh bahawa kenaikan harga barang adalah disebabkan kemenangan BN (pada PRN Melaka).

“Saya balas dengan bukti penuh bahawa kenaikan harga barang hari ini adalah kegagalan dasar kerajaan PN dahulu termasuk amaran saya bahawa inflasi akan menjadi masalah besar pada bulan-bulan mendatang sebab ini, dikatakan tuding jari.

“Siap dengan cadangan-cadangan serta saranan untuk ambil langkah untuk redakan kenaikan harga yang tidak pernah dilayan kerajaan PN masa itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Wan Saiful berkata, sepatutnya fokus utama Najib sekarang adalah mencari jalan penyelesaian untuk rakyat berkaitan isu kenaikan harga barang, bukan melakukan dakwaan tidak benar atau ia salah satu cara mengalih perhatian terhadap kes rayuan SRC beliau pada Rabu depan.

“Hakikatnya isu barang naik ini sudah menjadi bualan dan keresahan serius seluruh masyarakat. Najib tak perlulah melatah menuding jari menyalahkan orang lain. Segerakanlah solusi.

“Atau sebenarnya cuba divert attention sebab 8 Disember dah dekat?,” kata Wan Saiful.

Mengulas lanjut Najib berkata beliau membalas tuduhan pemimpin Bersatu bahawa semua menteri yang menjaga ekonomi, kewangan, perdagangan, perladangan dan pertanian yang berkait dengan kenaikan harga barang makanan adalah lantikan Bersatu atau dari parti itu.

“Tapi parti Bersatu tuduh harga barang naik sebab BN menang PRN Melaka bukan pula tuding jari ataupun lempar fitnah bodoh?

“Lepas itu Wan Saiful kata saya fitnah bahawa PPBM sedang serang PM Ismail (Sabri) dengan propaganda mereka,” katanya., seperti dilaporkan Malaysiapost.