Najib Razak akan bantu BN menang PRU15, kata Zahid

Najib Razak akan bantu BN menang PRU15, kata Zahid

Barisan Nasional (BN) dijangka akan terus berkembang maju disebabkan aura ‘Bossku’ yang masih kuat biarpun Najib Razak telah dipenjarakan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pengerusi gabungan, Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pemenjaraan Najib itu mengundang kegembiraan pembangkang, namun ianya tidak berguna kerana BN akan terus mara.

“Mereka meramalkan pemenjaraan Najib akan menamatkan aura ‘Bossku’ sekali gus melemahkan BN, tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Jasa dan budi ‘Bossku’ tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran. Sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU15 akan datang.

“Mereka berharap nama Najib berjaya dibunuh selepas dipenjarakan, namun aura ‘Bossku’ masih menjadi sebutan rakyat sehingga hari ini menyebabkan lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter ‘Bossku’ walaupun Najib kini berada dalam tahanan,”

23 Ogos lalu, Najib dipenjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.