Najib tak boleh terima keputusan mahkamah rayuan mengekalkan beliau penjenayah

Najib tak boleh terima keputusan mahkamah rayuan mengekalkan beliau penjenayah

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan itu mahu pasukan pembelaannya untuk melakukan rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan secepat mungkin.

“Pertama saya nak nyatakan saya amat kecewa denagn keputusan Mahkamah Rayuan.

“Berikutan dengan keputusan itu, saya telah minta peguam saya untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai pemindahan wang RM42 juta itu ke dalam akaun peribadianya.

“Isu pokok SRC ini berkisar wang RM42 juta yang dipindah ke akaun peribadi saya, sebagai orang Islam saya nak nyatakan yang saya tidak pernah, tidak tahu, minta atau arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa dalam pembelaan, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.