Najib ‘takut’ berdepan di parlimen, hanya beri jawapan bertulis

Najib ‘takut’ berdepan di parlimen, hanya beri jawapan bertulis

DATUK Seri Najib Razak telah memberi penjelasan bertulis berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat yang berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penjelasan bekas Perdana Menteri itu dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, sebelum jam 10 pagi tadi.

Perkara itu telah disahkan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Rozilan Salleh, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Rozilan enggan mendedahkan perincian penjelasan Ahli Parlimen Pekan itu, selain menjelaskan pertanyaan itu perlu diajukan kepada Azhar.

Minggu lalu, media melaporkan, Azhar ketika menjawab usul Tony Pua (PH-Damansara), memaklumkan bahawa Najib diberi masa hingga hari ini untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan terbabit.

Tony dalam usulnya itu mahu Najib dirujuk ke Jawatankuasa Khas Pilihan kerana mengingkari arahan Azhar untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berkaitan isu 1MDB dan kewangan negara.

Sebelum itu, Tony mengemukakan usul meminta Najib dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Tony mendakwa Najib sudah mengelirukan dalam beberapa perkara dibangkitkan ketika perbahasannya, termasuk menyatakan tiada satu sen prinsipal hutang 1MDB pernah dibayar oleh kerajaan.