Nak habiskan sisa hidup di jalan Allah, pakcik ini nekad pindah duduk terus di Mekah

Nak habiskan sisa hidup di jalan Allah, pakcik ini nekad pindah duduk terus di Mekah

Berkunjung ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadat umrah mahupun haji sudah semestinya menjadi impian setiap umat Islam dan ada yang sanggup untuk menghabiskan sisa hidupnya di sana.

Baru-baru ini, seorang pengguna, Leesa Ridzki memuat naik video memaparkan suasana hiba mereka sekeluarga mengiringi ayahnya di lapangan terbang sebelum warga emas berkenaan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.

Menerusi perkongsian wanita itu, dia memaklumkan ayahnya nekad untuk terus tinggal di sana dan tidak mempunyai niat untuk kembali ke Malaysia semula.

Jelasnya, keputusan tersebut diambil selepas kematian isteri tercinta dan kerana sering merasa sunyi seorang diri di rumah, ayahnya berhajat untuk terus fokus melakukan ibadah di Mekah sepanjang hidupnya.

“Niat ayah saya memang nak habiskan sisa hidupnya beribadah dengan tenang dekat sana, ayah memang dah niat bila pergi, dia tak nak balik,” katanya.

Meskipun berat, Leesa dan tiga beradiknya yang lain sepakat untuk ikhlaskan pemergian seorang ayah demi kebahagiaan jiwa yang dicarinya selama ini walaupun ia bakal menjadi sebuah pertemuan terakhir buat mereka sekeluarga.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut sebak melihat babak perpisahan mereka sekeluarga yang sangat menyentuh hati dan rata-ratanya mendoakan agar pak cik tersebut diberikan kesihatan sepanjang berada di sana.