Nak melancong hanya boleh di Langkawi, kata menteri

Nak melancong hanya boleh di Langkawi, kata menteri

Aktiviti melancong dalam negara ketika ini hanya dibenarkan melalui gelembung pelancongan Pulau Langkawi dengan mengikut SOP ketat, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dalam kenyataan, kementerian itu berkata, pelancong domestik pula dibenarkan melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri sama bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dan ke atas mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kebenaran untuk melakukan aktiviti pelancongan adalah tertakluk kepada SOP yang telah diwartakan oleh MKN,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

Pada 22 Sept lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri jika kadar vaksinasi dewasa mencapai 90%.

Katanya, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada hari berkenaan berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut MOTAC berkata, kerajaan akan membuat pengumuman rasmi mengenai aktiviti rentas negeri sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian.

Berdasarkan rekod Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 85.1% populasi dewasa telah lengkap divaksinasi setakat semalam.

Pada 21 Sept lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Menteri Kuartet pada hari berkenaan selepas melihat perkembangan positif Projek Rintis Gelembung Pelancongan di Pulau Langkawi.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali menegaskan kerajaan negeri tidak akan membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan sehingga kadar vaksinasi negara mencapai tahap 90%.