Nak pulang beraya wajib ada dos penggalak

Nak pulang beraya wajib ada dos penggalak

Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin memaklumkan bahawa suntikan dos penggalak akan menjadi salah satu syarat bagi penduduk yang mahu pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei ini, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.

Menurut Ma’ruf, Majlis Ulama Indonesia (MUI) sedang membincangkan fatwa berkaitan sambutan Aidilfitri termasuk kewajipan mengambil dos penggalak bagi membolehkan penduduk pulang ke kampung atau digelar mudik lebaran.

Menurutnya, syarat tersebut disifatkan perlu kerana pemerintah sudah menghapuskan ujian calitan antigen (RTK) atau tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) bagi perjalanan domestik.

“Kita perlu memastikan perlindungan diri lengkap sebelum melakukan mudik lebaran supaya tidak timbul kluster baharu di musim perayaan.

“Bagi golongan komorbid terutamanya warga emas, segera lengkapkan dos vaksinasi anda kerana ia sudah menjadi hal yang mustahak di musim penularan wabak seperti sekarang,” jelasnya.