Netizen kecewa trend merpati pelangi di Kelantan
Baru-baru ini media tempatan ada melaporkan mengenai satu perniagaan burung merpati yang diusahakan di sebuah premis menjual unggas berkenaan di Simpang Tiga, Kampung Kepulau, Kelantan.
Difahamkan kedai tersebut mula menjadi perhatian orang ramai sekaligus menerima jumlah jualan yang meningkat selepas pengusahanya tampil dengan idea ‘kreatif’ dengan mewarnakan burung merpati peliharannya dengan warna pelangi.
Menggelarkan burung berkenaan sebagai ‘Merpati Pelangi’, dia menjelaskan akan mewarnakan burung berkenaan dengan dua warna menggunakan penyembur kenderaan.
“Saya membeli merpati yang berusia sekitar sebulan dari pembekal dan ia akan dijinakkan terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.
“Selepas itu baru saya akan menyembur dengan dua warna itu dengan kedua belah mata merpati ditutup dengan pelekat dan prosesnya hanya sekejap iaitu kira-kira lima minit sahaja.
“Prosesnya juga tidak sukar kerana merpati sudah jinak, namun ada kalanya perlu juga ditenangkan dan setakat ini hanya merpati serta ayam hutan yang badannya berwarna putih sahaja diwarnakan,” katanya dipetik dari BH.
Menerusi laporan Speed Media Gallery, pengusaha ini turut mendakwa warna ini tidak membahayakan kerana ianya bukan warna kekal.
“Warna yang digunakan tidak membahayakan merpati kerana ia bukan warna kekal, warna akan luntur dalam masa 5 hingga 6 bulan atau semasa ia bertukar bulu secara semula jadi,” katanya dipetik dari Facebook Speed Media Gallery.
Tambahnya lagi, merpati ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri di mana ia hanya bergaul atau terbang bersama merpati berwarna sahaja.
Tidak disenangi netizen termasuk pakar veterinar
Laporan-laporan ini bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang netizen khususnya pencinta haiwan termasuk pakar veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah.
Beliau menerusi satu hantaran di media sosial, kemudian meluahkan rasa kecewa beliau dengan apa yang terjadi dan menyifatkan tindakan mewarnakan unggas berkenaan hanya akan membahayakannya.
Jelas Dr. Salehatul Khuzaimah atau lebih mesra dengan panggilan Dr Ima, manusia tidak tahu apakah kesan yang akan berlaku pada bahagian dalaman haiwan yang diwarnakan tadi. Malah menurutnya haiwan tersebut tidak mampu memberitahu apa yang sedang dihadapinya.
“Kita mungkin tak tahu apa kerosakan yang berlaku pada dalamannya. Mungkin dia tak mati terus, tapi masalah dalaman yang berlaku boleh ke dia beritahu? Tak boleh.
“Hantaran ini adalah untuk mengajar orang-orang kita bahawa ini adalah tidak betul. Mohon tidak menyokong tindakan sebegini,” kata Dr Ima.
No demand no supply
Enggan menyalahkan pengusaha berkenaan, pakar haiwan ini menegaskan trend itu tidak akan menjadi popular sekiranya tidak mendapat permintaaan.
Justeru beliau meminta orang ramai agar membuka mata bagi memastikan isu sama tidak berulang lagi.
“Yang pergi beli pun saya tak faham.. no demand, no supply.
“Mari bersama timbulkan kesedaran agar perkara sebegini tidak lagi berulang,” kata Dr Ima lagi.
Majoriti netizen baik di Instagram, Facebook mahupun Twitter turut dilihat bersetuju dengan pandangan yang diberikan Dr Ima dan mahukan trend ini diberhentikan demi keselamatan haiwan berkenaan.
Malah ramai menyifatkan tindakan menyembur apa-apa haiwan dengan cat pewarna adalah satu bentuk penganiayaan.
Allahuuuu😭😭😭😭
I am sorry..
This is NOT funny at all.
Merpati pelangi? Membuka ‘pintu rezeki’?What?! pic.twitter.com/yBYdQOhLOG— dr.ima_vet (@drimavet) January 30, 2022