Netizen persoal kenapa nak solat di kaki lima sedangkan ada surau?

Netizen persoal kenapa nak solat di kaki lima sedangkan ada surau?

Sejak beberapa hari lalu, nama instafamous dan pelakon, Aisar Khaled hangat diperkatakan di media sosial selepas dia berkongsi satu video memperlihatkan dirinya bersolat 5 waktu dalam sehari di beberapa lokasi berbeza.

Menerusi video tersebut, dia dilihat menunaikan solat subuh di rumah manakala 4 lagi di lokasi yang berbeza seperti bengkel kereta, masjid, gimnasium dan di tepi sebuah stesen minyak.

Jika dilihat dari kapsyen yang ditinggalkan, Aisar seolah-olah mengingatkan pengikutnya agar sentiasa menjaga solat walau sesibuk mana jadual harian mereka atau di mana sahaja mereka berada.

Tidak kira sibuk kerja dan berada di mana, solat jangan tinggal

Netizen beri pelbagai respon, ada yang setuju ada yang tidak

Video tersebut ternyata mencuri perhatian orang ramai yang tampil memberikan pelbagai respon.

Segelintir dari mereka dilihat memahami mesej yang ingin disampaikan Aisar bahawa solat sememangnya boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan di tempat yang bersih.

Namun ada juga yang segelintir yang mempersoalkan tindakan instafamous ini untuk menunaikan solat maghrib di tepi jalan sedangkan di belakangnya terdapat sebuah stesen minyak yang pastinya menyediakan kemudahan surau untuk awam.

Bahkan ada yang tertanya-tanya adakah ini sekadar konten dari instafamous tersebut selain satu cubaan untuk mengejar nama.

Persoalan-persoalan yang timbul kemudiannya menimbulkan perdebatan di kalangan netizen apabila ada yang tampil menyokong tindakan Aisar dan menjelaskan besar kemungkinan surau di stesen minyak berkenaan ditutup ekoran dari penularan jangkitan wabak Covid-19.

Namun Aisar menerusi satu komen balas kemudian menjelaskan niatnya hanya untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Secara peribadi, penulis merasakan niatnya hanyalah untuk memberi ‘pesanan’ kepada orang ramai juga kepada dirinya sendiri. Malah penghasilan video sebegini secara tidak langsung akan menjentik hati pengikut Aisar yang kebanyakannya terdiri dari golongan anak muda.

Malah dari sudut positif, konten-konten ‘peringatan’ dan nasihat sebegini ternyata lebih baik dari konten-konten prank dan tarian-tarian yang dihasilkan sesetengah content creator tempatan.