Nurul Izzah, Rafizi bentuk ‘cai’ hadapi pemilihan PKR

Nurul Izzah, Rafizi bentuk ‘cai’ hadapi pemilihan PKR

NURUL Izzah Anwar bakal berganding dengan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR tidak lama lagi.

China Press melaporkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bakal bertanding jawatan Naib Presiden bersama rakan-rakan pasukannya termasuk Chang Lih Kang (naib presiden semasa), Nik Nazmi Nik Ahmad (setiausaha pengelola) dan Manivanan Gowin (timbalan ketua penerangan).

Rafizi yang mengumumkan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden juga dijangka akan mengumumkan lebih banyak nama calon barisannya dalam masa terdekat.

Menurut sumber, anggota pasukan Rafizi yang lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Selangor, Rodziah Ismail untuk jawatan Ketua Wanita PKR.

“Untuk ketua sayap pemuda dan timbalan ketua pemuda pula, calonnya masing-masing adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Adun Rawang di Selangor Chua Wei Keat,” katanya.

Rafizi yang menyepi dari arena politik negara sejak tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR pada tahun 2018, menyatakan untuk membuat ‘comeback’ susulan prestasi lesu PKR dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.

Namun, hasrat Rafizi itu kemungkinan besar bakal ditentang oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang turut mengintai jawatan Timbalan Presiden PKR.