Orang Melayu takkan mati kalau tiada Umno, Islam tidak lumpuh jika tiada Pas, tegas Shafie

Orang Melayu takkan mati kalau tiada Umno, Islam tidak lumpuh jika tiada Pas, tegas Shafie

PARTI Warisan Sabah (Warisan) yang diasaskan di Negeri di Bawah Bayu pada 2016, secara rasminya melebarkan sayap ke Semenanjung dengan pelancaran parti itu di peringkat nasional di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Warisan berada pada landasan tepat menerusi kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam ucapan ketika majlis pelancaran Parti Warisan Peringkat Nasional, Ahli Parlimen Semporna itu berkata Warisan mahu membina sebuah negara yang tidak berlandaskan hanya kepada kaum dan agama.

Sebaliknya beliau berkata, parti itu mahu menyediakan peralihan daripada sistem politik kepartian berasaskan kaum dan agama kepada satu landasan lebih inklusif dan pelbagai kaum.

“Kita sudah lebih 60 tahun merdeka… masih lagi dibangkitkan dengan persoalan kaum, orang Melayu di Malaysia tidak akan mati kalau tidak ada Umno.

“Islam di Malaysia kita tidak akan lumpuh kalau tidak ada PAS, orang Cina tidak akan mati di Malaysia kalau tidak ada DAP. Mana ada Umno di Indonesia, mana ada PAS di Brunei, mana ada DAP di China… tidak ada,” katanya, menurut laporan Malaysiapost.

Turut hadir, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta kepimpinan Warisan.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menubuhkan Bersatu, bekas Perdana Menteri itu ada menawarkannya untuk menyertai parti tersebut.

Namun menurut Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, beliau menolaknya kerana tidak mahu terus terikat dengan parti berasaskan kaum.

“Ketika Bersatu mahu dibentuk, Tun ada tawarkan saya sertai Bersatu tetapi saya kata Tun cukuplah untuk parti berasaskan kaum, saya mahu tubuhkan parti pelbagai kaum dengan pasukan saya dan parti itu akan bermula dari Sabah,” katanya lagi.

Beliau juga berjanji “akan menjadi Perdana Menteri untuk semua” sekiranya menang PRU15.