Orang tengah dipersalahkan punca harga barang naik

Orang tengah dipersalahkan punca harga barang naik

 

PERTUBUHAN Ekonomi Islam Malaysia mendakwa kenaikan harga barangan bukan sahaja melibatkan faktor cuaca ataupun kekurangan pekerja, namun membabitkan ‘orang tengah’.

Menurut Penasihat Kehormatnya, Mohd Asna Amin, antara alasan kenaikan harga yang diperkatakan adalah faktor cuaca, logistik, peningkatan kos baja dan racun, hujan lebat, banjir dan tanah runtuh dan kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun tiada disebut tentang faktor ‘orang tengah’ yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kenaikan harga barang keperluan di pasaran,”

“Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan bahawa isu kenaikan harga sayur bukan fenomena seluruh negara.

“Bagaimanapun, katanya, respon yang diperlihatkan rakyat adalah jelas iaitu kenaikan harga sayur suatu bebanan baharu yang sedang menyusahkan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya bukan mahu buat sebarang tuduhan namun sebelum ini, anasir ‘orang tengah’ ini dilihat penyebab kepada kenaikan barang.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sama ada wujud atau tidak anasir ‘orang tengah’ ini.

“Bukan mahu membuat tuduhan sebarangan, tetapi seeloknya pihak berkuasa turut membuat pemeriksaan sama ada masih wujud anasir ‘orang tengah’ sehingga menyebabkan harga sayur melambung tinggi.

“Kita masih ingat hasil kajian beberapa tahun lalu mendapati ramai penternak, petani dan nelayan terikat dan terpaksa menjual hasil mereka kepada ‘orang tengah’

” ‘Orang tengah’ dikatakan menguasai rantaian pasaran melalui manipulasi harga, timbangan dan bekalan input menyebabkan petani memperolehi keuntungan sedikit dan kos sara hidup rakyat meningkat,” katanya.

Beliau berkata, jika anasir ‘orang tengah’ ini mengambil kesempatan menaikkan harga disebalik kekurangan bekalan berulang, ia merupakan suatu pengkhianatan kepada negara.

“Kita tidak mahu semasa rakyat masih berdepan kesan pandemik dan penutupan ekonomi, ‘orang tengah’ mengambil kesempatan memerah keringat petani dan poket rakyat untuk mengaut keuntungan,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.