Orang tua di kampung tak sabar tunggu kepulangan anak, cucu, cicit

Orang tua di kampung tak sabar tunggu kepulangan anak, cucu, cicit

 

Seorang bapa sudah mula membuat persiapan menyambut kepulangan anak dan cucunya yang dijangka pulang sebaik pergerakan rentas negeri yang dijangka dibenarkan dalam masa terdekat.

Wan Omar Wan Ahmad, 82, berkata, perasaan rindu yang ditanggung sukar digambarkan apatah lagi kali terakhir mereka dapat berkumpul ialah pada tahun 2018 iaitu tiga tahun lalu.

Katanya, dia dan isteri, Zainab Mamat, 73, tidak sabar untuk menyiapkan hidangan tradisi Terengganu, nasi dagang yang menjadi juadah kegemaran sembilan orang anak dan 34 cucunya itu.

“Ibu bapa mana yang tidak rindukan anak apatah lagi lebih dua tahun tidak bersua muka dan hanya melepaskan rindu melalui panggilan video.

“Perasaan teruja kali ini macam hendak sambut raya kerana kami merancang untuk menyediakan makanan kegemaran manakala anak dan cucu juga dah berjanji akan membantu di dapur,” katanya ketika ditemui di Pulau Sekati di sini semalam.

Wan Omar berkata, selain dia dan isteri, kesemua anak serta sebahagian besar cucunya juga sudah lengkap vaksinasi dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ untuk merentas negeri.

Begitupun demi kesihatannya dan isteri, dia memberitahu anak-anak dan cucu mereka bercadang buat ujian saringan Covid-19 dahulu sebelum balik ke kampung.

“Kebanyakan anak saya menetap di Pahang iaitu di Maran, Bera, Muadzam Shah manakala sebahagian lagi bertugas di Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur penantian lebih dua tahun kini sampai di penghujung dan berharap dapat kembali bersatu bersama darah daging sendiri termasuk tiga orang cicit,” katanya, lapor Kosmo.