‘Owner’ dedah bisnes nasi kandar babi bertambah laku selepas viral
Di sebalik kontroversi, perniagaan nasi kandar babi Pumbaa’s Nasi Lemak and Nasi Kandar di Petaling Jaya semakin mendapat sambutan, kata peniaganya.
“Bertambah baik.
“Ramai orang datang dan sokong,” kata Suresh G menjawab soalan berkaitan sambutan diterimanya selepas kedainya tular.
Bercakap kepada KiniTV, dia berkata, ramai pihak memberikannya kata-kata semangat dan maklum balas baik daripada pelanggan.
Awal minggu ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyelar perniagaan itu sebagai “penghinaan” kepada industri nasi kandar yang dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun.
Mereka juga beranggapan ia menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan dan memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai itu.
Sementara itu, Suresh berkata publisiti mengenai video seorang influencer dan reaksi awal Presma telah membawa keuntungan untuk perniagaannya.
Katanya, permintaan yang meningkat itu bermakna makanan mereka habis dijual pada jam 1 tengah hari semalam.
“Saya masih memasak dari rumah…dan semalam, makanan kami habis dijual pada pukul 1.
“Jadi hari ini saya perlu memasak tambahan untuk menampung lebih ramai orang.
“Tetapi kami cuba menjaga kualiti, jadi saya mungkin tidak dapat masak secara pukal besar seperti yang dilakukan oleh restoran memandangkan kami memasak di dalam rumah,” katanya.
Menurutnya, gerainya bukan sahaja jelas memaparkan perkataan “tidak halal”, tetapi juga terletak di kedai makan Cina tidak halal Good Old Days Restaurant and Bar di Damansara Jaya.
Kata Suresh lagi, pelanggan tidak sepatutnya terkeliru sebagaimana didakwa.
‘Tak bayar influencer’
Kontroversi nasi kandar babi timbul selepas Presma tidak bersetuju dengan penyiaran klip video oleh pempengaruh TikTok @eat.with.aishwarrya yang mempromosikan perniagaan Suresh dan hidangan varuval daging babi bersama hidangan nasi kandar tradisional.
Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan berkata tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap industri nasi kandar – yang diketahui telah dipelopori oleh pengusaha restoran Muslim Tamil sejak beberapa dekad.
“Presma berpendapat ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan dan penggemar nasi kandar di negara ini selain memberi imej negatif kepada menu yang digemari ramai ini,” katanya ketika itu.
Suresh berkata dia tidak membayar pempengaruh untuk mengiklankan gerainya.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah mengusahakan restoran daun pisang yang ditutup.
“Saya selalu teringin nak buat nasi kandar babi sebab tak pernah jumpa di mana-mana.
“Dan pada pendapat saya, saya sangka nasi kandar cuma nasi dan mencampurkan lain-lain jenis kari, kan?
“Saya memilih kawasan ini, yang merupakan kawasan yang terkenal dengan kaum Cina dan saya bermula di kopitiam tidak halal.
“Jadi, agak mengejutkan apabila Presma melihat kandungan ini kerana saya telah jelaskan yang ia tidak halal,” kata Suresh.
“Ada sekumpulan kecil orang yang cakap macam-macam lah tetapi saya mendapat banyak sokongan.
“Malah masyarakat Melayu, (rakan-rakan Islam) memberitahu saya untuk terus kuat dan memberitahu saya tidak melakukan kesalahan terhadap apa yang telah saya lakukan.
“Jadi, saya sangat gembira mengetahui hal itu,” katanya.
Tiada pilihan selain terima, kata Presma
Susulan itu, Jawahar memberitahu New Straits Times bahawa Presma tidak mempunyai pilihan selain menerima istilah nasi kandar babi memandangkan pemilik gerai itu telah menjelaskan bahawa ia hanya untuk orang bukan Islam.
Dia berkata, masyarakat perlu faham bahawa nasi kandar pada asalnya diperkenalkan oleh masyarakat mamak (India Muslim).
“Ia makanan halal di mana sepinggan nasi dijual dengan mencampurkan pelbagai kari.
“Pelanggan percaya semua Nasi Kandar yang dijual di pelbagai kedai adalah makanan halal untuk orang Islam.
“Nasi kandar babi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan tetapi penjual nasi kandar babi telah memberi penjelasannya, dan kita perlu menerimanya.
“Dia dengan jelas menyatakan dia tidak menjual kepada orang Islam,” katanya.
Randall Chen, pemilik kopitiam tempat Suresh beroperasi, berkata terdapat peningkatan dalam jumlah pelanggan sejak beberapa hari lalu.
“Terdapat ramai orang yang datang. Ramai orang kerajaan yang datang, juga hanya untuk menjaga keadaan dan memastikan semuanya teratur.
“Kami mempunyai lesen yang sah, saya fikir mereka hanya menjalankan tugas mereka, dan bukan berada di sini untuk menimbulkan sebarang masalah.
“Pandangan saya ialah tidak perlu sensitif kerana saya fikir sebagai seorang chef, semua orang cuba menjadi unik,” kata Chen.
Katanya, banyak restoran dan kedai makan sedang berkembang dan ramai cuba menjadi kreatif untuk menonjolkan diri.
“Bagi saya, apa yang mereka lakukan adalah tema dan sajian yang sangat unik.
“Ia idea yang cukup bagus. Orang ramai datang ke sini dari seluruh bandar,” katanya.