Pakar saran Malaysia laksana PKP sementara

Pakar saran Malaysia laksana PKP sementara

KERAJAAN disyorkan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sementara bagi mengekang ledakan jangkitan Covid-19.

Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman, berkata sekiranya kes tidak dikawal kemungkinan besar ia bakal menyaksikan peningkatan kemasukan ke hospital dan Unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, sejak kebelakangan ini kes positif Covid-19 membabitkan ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas semakin meningkat dengan penularan wabak Omicron.

“Meskipun syor ini tidak begitu digemari, namun saya berpendapat kerajaan perlu melaksanakan PKP sementara bagi strata-strata berisiko ini dengan tujuan mengawal pintu masuk negara dalam memperlahankan ledakan ini.

“Jika terlalu ramai maka kita tidak menolak (kemungkinan) akan berlaku peningkatan kemasukan hospital dan juga ICU.

“Malah, kita bimbang sekiranya berlaku keadaan yang mana sistem kesihatan tidak mampu mengawal dan ramai akan menerima kesan yang kita harapkan dapat dielakkan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Melihat kepada polar jangkitan, beliau menjangkakan kes aktif dengan kebolehjangkitan kes Covid-19 akan terus meningkat sehingga mencecah 250,000 kes dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, Malaysia tidak boleh mengikut model luar negara kerana mengikut kapasiti dan keupayaan sistem kesihatan setiap negara berbeza.