Pakcik ini dulu antivaksin, sekarang tak sabar nak vaksin selepas positif

Pakcik ini dulu antivaksin, sekarang tak sabar nak vaksin selepas positif

 

Disahkan positif dijangkiti Covid-19 memberi pengajaran bermakna buat Idris Jaffar, 57, yang masih belum mengambil suntikan vaksin.

Malah dia sama sekali tidak menduga terpalit wabak itu selepas mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat setiap kali berada di luar rumah terutama di lokasi awam.

Katanya, dia akan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal berikutan menyedari tidak mengambil vaksin.

Bagaimanapun semua langkah terbabit tidak mencukupi apabila dia dijangkiti virus Covid-19 selepas diserang demam panas, selsema dan batuk sejak 3 Oktober lalu.

“Saya bertindak pergi ke klinik berhampiran kediaman di Sungai Udang di sini, sebelum dinasihati menjalani saringan Covid-19.

“Saya kemudian disahkan positif selain turut menjalani saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lebih malang isteri dan anak bongsu saya yang tinggal serumah turut positif Covid-19. Saya terkejut kerana semua mereka sudah lengkap menerima dua suntikan vaksin sejak lebih sebulan lalu,” katanya tadi.

Menurutnya, dia kini menjalani kuarantin di rumah serta dipantau petugas KKM yang turut menghubunginya dan keluarga.

“Saya kini sudah bersedia untuk divaksin. Sebelum ini pelbagai pandangan diberikan rakan-rakan, ahli keluarga dan adik beradik supaya saya mengambil vaksin namun saya menolaknya,” katanya.

“Sebelum ini saya sanggup digelar anti vaksin. Namun kini akur dengan keadaan semasa dan kepentingan berikhtiar mencegah penyakit,” katanya, lapor Harian Metro.

Idris berkata, pergerakannya semakin terbatas terutama untuk berurusan di agensi awam, solat di masjid, makan di kedai makan serta merentas negeri.