Panas! ‘Adun samseng’ tempelak Guan Eng, kamu siapa nak halang saya?

Panas! ‘Adun samseng’ tempelak Guan Eng, kamu siapa nak halang saya?

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee menegaskan DAP tiada hak untuk menghalangnya bertanding bawah panji Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Norhizam ketika dihubungi FMT berkata, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng seharusnya sedar bahawa partinya tidak mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu.

“Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

“Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya mengulas kenyataan Lim bahawa parti itu akan membantah jika Norhizam mahu bertanding bawah panji PH.

Dalam pada itu, Norhizam mendedahkan beliau menerima tawaran kerjasama daripada pelbagai parti menjelang PRN bulan depan, namun masih terbuka sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya sambil menyifatkan figura calon lebih penting daripada nama atau logo parti.

“Parti ini hanya satu platform saja, bila pilihan raya memang kita kena ada parti untuk bertanding tetapi lepas itu kita bergerak atas tiket sendiri,” katanya.

Menegaskan tindakan beliau bersama tiga ADUN lain menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Umno, Norhizam berkata, beliau tidak akan sesekali bersekongkol dengan kemungkaran dan kebatilan yang berlaku secara terang-terangan di depan matanya.

“Saya berjuang kerana mempertahankan maruah kerana kejahilan, kebatilan dan kemungkaran itu berlaku di depan mata saya. Saya tolak, saya tak nak, saya ada prinsip, kalau tak betul, tetap tak betul, betul kita kata betul.

“Prinsip saya, (dalam) saya nak membantu rakyat negeri Melaka, saya (sanggup) gadaikan maruah, masa depan, politik, kedudukan, gaji saya, kereta saya, sedangkan saya boleh tutup mata duduk diam-diam. Kita (orang) bermaruah,” tegasnya tanpa mengaitkan “kemungkaran” yang disebutnya itu dengan mana-mana parti atau individu.

Ditanya adakah beliau terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Umno menjelang PRN akan datang, beliau menegaskan tidak akan sekali-kali berganding dengan parti Melayu itu.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Biar putih tulang jangan putih mata,” katanya.

Terdahulu, Norhizam bersama tiga ADUN, iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dilaporkan mahu bertanding bawah panji PH dalam PRN, bahkan telah bertemu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan pemimpin PH lain di sebuah hotel semalam untuk membincangkan perkara itu.

Namun mereka mengakui mereka adalah “pendatang baharu” bagi PH dan akan menyerahkannya kepada kepimpinan gabungan negeri itu untuk membuat keputusan.