Panas! Akhirnya Azmin muncul di DUN Selangor selepas terchiduk kalah teruk

Panas! Akhirnya Azmin muncul di DUN Selangor selepas terchiduk kalah teruk

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan pertama dalam persidangan DUN Selangor hari ini.

Kemunculan Mohamed Azmin itu menjadi perhatian ramai, selepas beliau tewas di kerusi Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Terdahulu menerusi ciapan di Twitternya, Mohamed Azmin mengesahkan beliau akan menghadiri sidang DUN berkenaan hari ini.

“Menghadiri Sidang Dewan Negeri Selangor pagi ini. Saya membangkitkan usaha mencipta pekerjaan yang berkualiti untuk anak-anak muda Selangor.

“Serta menarik pelaburan yang berteknologi bagi mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan di rantau ini,” ciapnya.

Mohamed Azmin dipercayai hadir dalam sesi Dewan Negeri Selangor selepas Speaker, Ng Suee Lim membuat teguran susulan ketidakhadirannya sejak persidangan minggu lalu.

Difahamkan, Mohamed Azmin tidak hadir ke sesi mesyuarat ketiga persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 yang bermula sejak 23 November lalu.

Kehadiran Azmin disedari petugas media selepas beliau bangkit mencelah mengajukan soalan tambahan kepada EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Antara soalan tambahan yang diketengahkan Mohamed Azmin ialah apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk memastikan tenaga pekerja tempatan di Selangor dapat memenuhi permintaan industri pada hari ini seperti ekonomi digital dan sektor-sektor baharu.

Beliau turut bertanyakan tentang langkah-langkah kerajaan negeri untuk menjajarkan usaha selari dengan dasar pelaburan negara yang memberikan tumpuan kepada lima sektor utama iaitu automotif, farmasutikal, E&E Digital dan industri Kimia.

“Saya percaya kalau langkah ini dapat diselarikan, ianya pasti dapat memenuhi hasrat kita pada pagi ini untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak Selangor yang berkualiti dan berpendapatan tinggi untuk menjamin masa depan mereka,” katanya.

Azmin juga berkata, langkah untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dalam kalangan anak muda dan rakyat boleh mengekalkan Selangor sebagai hub pelaburan di rantau ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Bandar Baru Klang dan Invest Selangor yang sentiasa menjalinkan kerjasama yang cukup baik dengan MIDA.

“Ini bagi memastikan pelaburan-pelaburan berteknologi tinggi dapat masuk ke dalam Selangor dengan harapan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu yang bukan sahaja berteknologi tinggi bahkan berkemahiran,” katanya, lapor Malaysiapost.