Panas! Akibat gelembung pelancongan Langkawi, 59 pekerja hotel positif Covid19

Panas! Akibat gelembung pelancongan Langkawi, 59 pekerja hotel positif Covid19

59 kakitangan sebuah hotel terkenal di Langkawi disahkan positif COVID-19, sekali gus operasi hotel berkenaan ditangguhkan sementara waktu.

Setakat ini, seramai 249 individu menjalani ujian saringan dengan tiga lagi masih menunggu keputusan, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo.

Penularan jangkitan itu telah mewujudkan Kluster Dah Teluk Nibung sejak 1 Oktober lalu yang juga merupakan kluster tempat kerja.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki bermula daripada komuniti, seterusnya merebak di tempat kerja.

“Bagaimanapun, sehingga kini penularan jangkitan adalah terkawal dan melibatkan pekerja tempatan serta kontak rapat ahli keluarga sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah juga mengambil tindakan pantas mengenal pasti semua kontak rapat yang terlibat.

“Kesemua mereka telah diarahkan menjalani ujian saringan serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 10 hari,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan hotel mengambil inisitif untuk menutup operasi sebagai langkah keselamatan semua pihak.

“Pengurusan hotel bersetuju untuk menutup operasi mereka secara sukarela buat sementara waktu,” katanya, lapor Ismaweb.net.