Panas! Annuar Musa desak pemilihan Umno diadakan segera

Panas! Annuar Musa desak pemilihan Umno diadakan segera

UMNO perlu membuat pemilihan parti lebih awal bagi memberi peluang kepada usaha menumpukan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata Umno wajib mengadakan pemilihan partinya tahun hadapan, namun terserah kepada kepimpinan untuk mengadakan seawal Januari atau November iaitu tempoh tamat perlanjutan ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Maka pada saya tak perlu bincang hal pilihan raya dulu atau hal pemilihan parti. Dua-dua boleh berlaku… pada saya nak buat pilihan raya dulu pun boleh, nak buat pemilihan parti pun boleh.

“Cuma makin lambat kita buat pemilihan parti makin sempit peluang yang ada untuk persiapan pilihan raya. Boleh juga buat pemilihan awal, kemudian tumpu persiapan hadapi pilihan raya.

“Jika ditanya pendirian Umno bahagian kita, lagi cepat mendapatkan mandat daripada ahli, lagi selamat kita buat persiapan untuk menghadapi PRU nanti,” katanya ketika merasmikan persidangan Umno Bahagian Ketereh hari ini.

Pada masa sama, Menteri Komunikasi Dan Multimedia itu berkata, kuasa menetapkan pemilihan parti bukan ditentukan oleh parti, sebaliknya undang-undang yang tertakluk dalam RoS.

“Ada yang minta nak pilihan raya dulu, ada yang minta nak pemilihan parti dulu, macam-macam polemik saya baca.

“Tapi ada fakta bukan auta. Pemilihan parti kita tidak boleh tentukan mengikut kehendak parti sebab ia telah ditentukan ROS. Mandat kita telah habis pada Mei lalu dan dilanjutkan tempoh pemilihan oleh RoS sehingga NHovember tahun depan.

“Kita tiada pilihan, undang-undangnya begitu, maknanya 2022 tahun wajib ada pemilihan. Nak awal nak cepat seawal-awal bulan Januari, selewat-lewat November.

“Kita boleh lambatkan sehingga November, kalau tak buat parti boleh diharamkan. Ini satu fakta pemilihan dalam parti bukan kita tentukan sendiri ini tertakluk pada keputusan RoS,” katanya, menurut laporan Malaysiapost.