Panas! Annuar Musa tempelak Umno, pertahan Bersatu

Panas! Annuar Musa tempelak Umno, pertahan Bersatu

 

UMNO akan menjadi parti yang ‘ditinggalkan’ sekiranya berterusan menolak penyatuan serta tidak mengutamakan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada parti, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu, berkata antara faktor Umno kekal dominan sebagai sebuah parti politik yang berjaya adalah keupayaannya mengekalkan kepercayaan bahawa ia merupakan wadah memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya orang Melayu.

“Dasarnya sentiasa mengutamakan penyatuan dan perpaduan,serta memikul amanah rakyat.

“Sekiranya nilai ini tidak di pertahankan,apalagi diganti dengan imej perpecahan,menolak penyatuan, bersendirian dan tidak mengutamakan amanah dan kepercayaan yang diberikan, pasti kita akan di tinggalkan,” katanya menerusi Facebook, lapor Malaysiapost.

Justeru, Annuar berkata, atas dasar sedemikianlah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus mengutamakan sikap kesederhanaan, keterbukaan,muafakat dalam konteks Keluarga Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu.

Katanya, apa jua pendirian yang dibuat oleh Umno tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri sahaja sebaliknya, harus juga melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang sedang memimpin.

Kenyataan Ahmad Zahid itu sekali gus mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Annuar yang meminta Pemimpin Umno lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan bagi mengelak sebarang masalah kepada parti.

Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan boleh mengheret parti ke dalam masalah apatah lagi sekiranya ia melibatkan pendapat individu.