Panas! Anwar akhirnya pasrah tidak dapat jadi PM
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada ketentuan takdir sama ada dirinya dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa hadapan.
Beliau berkata, dirinya sedia menerima ketentuan Tuhan sama ada dapat menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti atau kekal sebagai ketua pembangkang.
“Saya hanya menjalankan tugas saya, que será será (apa yang hendak terjadi akan terjadi). Sekiranya saya terus menjadi ketua pembangkang, saya terima.
“Sekiranya saya menjadi perdana menteri, saya akan mengucapkan syukur kepada Tuhan,” kata Anwar.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata demikian dalam sebuah wawancara dengan Radio ABC Australia ketika ditanya apakah beliau masih percaya boleh menjadi perdana menteri suatu hari nanti.
Mengulas mengenai pendedahan laporan Pandora Papers mengenai beberapa tokoh pemimpin negara antara 336 ahli politik dunia yang memiliki akaun luar pesisir, Anwar berkata, ianya dulu dilindungi oleh kuasa dimiliki elit politik.
“Jika melihat kes seperti Kertas Pandora, itu (menjadi perdana menteri) hanya akan menjadikannya lebih mencabar dan sukar.
“Keseluruhan alat kuasa, elit politik, konglomerat dan media akan menolong anda. Oleh itu, saya tidak bimbang tentang perkara itu (menjadi perdana menteri atau tidak suatu hari nanti),” katanya, lapor Malaysiapost.
Tambah Anwar, isu mengenai aliran keluar haram dan akaun bank rahsia bukanlah perkara baru.
Menurutnya, pada tahun 2011, beliau telah memberitahu kerajaan melalui Parlimen untuk menyiasat laporan Global Financial Integrity yang mendakwa terdapat aliran keluar haram sebanyak RM208 bilion.
“Saya mengemukakannya kepada perdana menteri ketika kami bertemu petang semalam. Dia bertanya apa lagi yang dapat dilakukan. Saya katakan kita mesti menjalankan siasatan penuh.
“Orang boleh mempunyai akaun di luar negara, tetapi jika anda adalah pegawai awam dengan ratusan juta disimpan di luar pesisir, anda mesti dipertanggungjawabkan,” kata Anwar.
Anwar menegaskan, adalah tidak masuk akal apabila terdapat pegawai awam memiliki kekayaan luar biasa di luar negera ketika tahap kemiskinan masih tinggi dalam negara.