Panas! Anwar bakal lari bertanding di Perak
PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ditawarkan untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tawaran itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini, sebagai langkah untuk mengukuhkan parti tersebut menawan negeri itu.
“Presiden sangat responsif dan positif dengan pelawaan itu. InsyaAllah kita tengok nanti,” katanya pada sidang media dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Farhash berkata, pelawaan seperti itu adalah perkara biasa bagi mana-mana parti sekalipun yang mahukan nama besar untuk datang ke negeri ini.
Katanya, kehadiran nama besar seperti Anwar di negeri itu memudahkan PKR untuk menawan Perak pada PRU-15.
“Negeri Sembilan merupakan salah satu kubu buat PKR, jadi, kami yakin jika kami sebuah parti heavyweight, kami kena keluar menerokai tempat baharu.
“Sama macam peperangan, anda harus keluar untuk menakluk, jadi Perak ini kita boleh takluk,” katanya.
Menurutnya, Selangor merupakan negeri tonggak buat PKR apabila satu pertiga daripada ahli parti itu datang dari negeri itu, malah jumlah Ranting atau cawangan di Selangor juga adalah yang tertinggi.
Bagaimanapun menurut Farhash, Perak juga tidak ketinggalan jauh dari segi jumlah Ranting, iaitu yang kedua tertinggi di belakang Selangor.
“Ini menunjukkan kami serius dan komited untuk ambil alih negeri ini malah kalau dilihat dalam kalangan parti dalam PH Perak, PKR mendahului dari segi jumlah cawangan, kita juga mendahului dari segi peningkatan keahlian tapi dari segi kerusi DUN, kita tak terlalu menonjol namun kami yakin akan ambil alih dalam PRU-15,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai nama beliau yang dikaitkan sebagai calon Menteri Besar Perak jika PH menang PRU-15, Farhash Wafa berkata, perkara itu bukan keutamaan ketika ini.
“Soal Menteri Besar ini tidak penting bagi saya. Lebih penting ialah gerak kerja kita untuk menawan Perak,” katanya.