Panas! Arafat mahu ajar Razman cara turunkan harga barang, jangan asyik merepek
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar Exco Perak, Razman Zakaria berdebat berhubung isu kenaikan harga barang.
Susulan itu beliau telah menghantar surat cabaran debat ke Pejabat Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan tersebut hari ini.
“Saya kesal jawapan tidak bertanggungjawab Razman. Oleh kita telah menghantar surat jemputan untuk berdebat isu kenaikan harga barang, sudah ada cop akuan terima pejabat Exco.
“Saya cabar YB Razman selaku Exco berdebat secara terbuka dengan saya berkenaan harga barang.
“Dalam debat nanti saya nak bagi cadangan atau kaedah yang perlu diambil Exco mengenai kaedah menurunkan harga barang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selasa lalu, Muhammad Arafat mencuri tumpuan apabila membawa ayam segar ketika membangkitkan isu kenaikan harga barang dalam perbahasan Belanjawan Perak 2022.
Menurutnya, ayam itu sebagai simbolik ketidakpuasan hati rakyat dengan mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria tidak mengambil tindakan menangani kenaikan harga barang.
Baru-baru ini, Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, dilaporkan berkata rakyat perlu menerima hakikat tentang kenaikan harga barang saban hari.
Bercakap ketika sidang DUN Perak, Razman (PAS-Gunung Semanggol) berkata selagi mana manusia hidup, isu harga barang naik tidak akan selesai.
“Kita harus sedar perkara kenaikan harga ini tidak akan selesai selagi kita hidup. Oleh itu kita kena terima ‘fact’ (hakikat),” katanya.