Panas! Bersatu akan pecat kartel Azmin daripada parti

Panas! Bersatu akan pecat kartel Azmin daripada parti

 

TIMBALAN Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju bakal berdepan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dipecat keahliannya daripada Bersatu.

Ia susulan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, walaupun parti telah membuat keputusan untuk tidak menyertainya.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah membuat pengumuman rasmi bahawa Bersatu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak, sebaliknya membantu memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Justeru, Perlembagaan Bersatu menyatakan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk boleh terhenti keahlian serta merta.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau juga meminta semua ahli Bersatu untuk berganding bahu memastikan kemenangan besar buat GPS dalam PRN ini.

“Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” katanya, memetik laporan Malaysiapost.

Terdahulu, Ali dilaporkan bertanding sebagai calon Bebas dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Krian dalam PRN Sarawak.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil rakyat Bersatu itu bakal berdepan saingan empat penjuru termasuk menentang calon GPS, Friday Belik.

Beliau turut ditentang Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu) dan Danny Kuan Sam Sui (Parti Bumi Kenyalang).

Dua hari lalu, Ali menafikan beliau akan menyerahkan kerusi Krian kepada calon GPS.

Malah beliau memberi bayangan masih mempertimbangkan untuk terus bertanding di situ bagi menjadi wakil rakyat untuk penggal ketiga.

Kenyataan itu dibuat selepas calon GPS dari Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak yang akan dipertaruhkan di Krian, Friday mendakwa Ali tidak akan bertanding di situ.

Ali berkata, penyokongnya serta sebahagian besar pengundi Krian bertegas mahu beliau terus berkhidmat, justeru wajar bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ali memenangi kerusi Krian pada 2011 dan 2016 atas tiket PKR namun beliau keluar parti semasa Langkah Sheraton sebelum menganggotai Bersatu serta menjadi Adun mesra GPS.

Selain menjadi Adun, Ali merupakan Ahli Parlimen Saratok.