Panas! BN tak puas hati SOP PRN Melaka

Panas! BN tak puas hati SOP PRN Melaka

 

BARISAN Nasional (BN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi sedikit kelonggaran kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkempen sehingga 20 November depan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan sebelum ini agak keterlaluan sehingga menyukarkan calon berkempen.

“Saya hairan kerana ada laporan jentera kita bukan sahaja tidak boleh pasang bendera malah tidak boleh ada bilik gerakan di pusat daerah mengundi sedangkan di situlah kita bermesyuarat bagi memberikan maklum balas ke Command Centre.

“Jadi saya harap SPR memikirkan semula. Tak usah terlalu melampau sehingga diugut macam-macam. Ada yang sampai mengambil kad pengenalan petugas jentera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan manifesto BN, hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya menyedari kekangan yang dihadapi kerajaan, namun setiap calon yang bertanding perlu diberi kelonggaran.

“Jentera kami trauma dan takut. Itu sebabnya tidak banyak bendera serta poster BN. Ini amat sedih.

“Kita nak mengamalkan dan meraikan amalan demokrasi di negara ini tetapi dalam masa sama kita faham kerajaan perlu mengekalkan SOP yang ketat bagi memastikan tiada jangkitan Covid-19,” katanya, memetik laporan Malaysiapost.

Mohammad berkata, kaedah kempen perlu diperhalusi semula supaya dapat memberi ruang kepada parti yang bertanding dalam PRN Melaka.

Merujuk situasi PRK Slim River dan Chini memperlihatkan kejayaan tanpa sebarang kluster, Mohamad berkata, kempen boleh dilaksanakan dengan syarat meminumkan orang terlibat.