Panas! Calon Pas lawan Adly gelabah, lupa bawa pen

Panas! Calon Pas lawan Adly gelabah, lupa bawa pen

 

GARA-GARA tidak membawa pen berdakwat hitam, calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Mohammad Al Hafiz Yahya berdepan detik cemas ketika mahu mendaftar kehadiran di pintu masuk Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Tun Ali, sebentar tadi.

Beliau yang diiringi oleh Mohammad Shahril Abd Aziz sebagai penyokong dan Ghaffar Baba Ahmad sebagai pencadang kelihatan gelabah kerana tidak ada dalam kalangan mereka yang membawa pen berdakwat hitam.

Bagaimanapun, mujur salah seorang petugas media menyelamatkan keadaan dengan memberi pen berdakwat hitam untuk digunakan mereka, lapor Sinar Harian.

Penggunaan pen berdakwat hitam adalah syarat bagi proses pendaftaran calon.

Sebelum itu, aplikasi MySejahtera Ghaffar yang berstatus Kontak Kasual Tidak Bergejala turut menimbulkan keresahan orang ramai di PPC berkenaan.

Bagaimanapun, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan bahawa status berkenaan dibenarkan masuk untuk proses penamaan calon.

Terdahulu, mereka bertiga tiba di PPC berkenaan pada jam 8.49 pagi dengan lengkap berbaju Melayu.