Panas! DAP gesa ‘buang jauh-jauh’ ADUN Babi
DAP bertegas menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Pakatan Harapan.
“Saya dengan tegasnya menyatakan DAP menolak sama sekali YB Pengkalan Batu sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia (Norhizam) sebagai calon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Pejabat DAP, Lorong Pandan, Tengkera, Melaka, seperti dilapor Malaysiapost hari ini.
Sementara itu, ditanya alasan parti itu menolak bekas EXCO berkenaan, Guan Eng enggan mengulas lanjut.
“Saya tak mahu sebutlah, mahu sebut ini saja. Cukuplah, tak payah pergi pada asal usulnya. Semua faham.
“Saya hanya sebut seperti tadi, DAP tak terima dia sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri,” tegasnya.
Norhizam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang atas tiket DAP sebelum mengisytiharkan menjadi calon Bebas dan memberi sokongan kepada Umno sehingga membentuk kerajaan baharu pada Mac tahun lalu.
Bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi kemudian pada 4 Oktober lalu sekali lagi menolak sokongan kepada kerajaan negeri bersama tiga ADUN lain kerana mendakwa hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sementara itu, Guan Eng berkata, PH komited untuk memastikan mandat rakyat dikembalikan pada PRN kali ini dan kekal menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
“PH menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri dan saya harap tidak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini.
“Ini bukan hanya daripada DAP sahaja tetapi parti komponen yang lain kerana Adly menjalankan tugas yang baik,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.