Panas! Disaat Rafizi tempelak, Anwar pula minta jangan berkeras dengan 4 Adun lompat

Panas! Disaat Rafizi tempelak, Anwar pula minta jangan berkeras dengan 4 Adun lompat

 

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyarankan gabungan Pakatan Harapan (PH) membincangkan kedudukan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang terbabit dalam menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Umno secara berhemah dan bukannya bersikap keras.

Beliau berkata, PH perlu menggunakan kebijaksanaan kerana pandangan dan perbincangan itu boleh melibatkan penarikan hubungan kepada semua pihak.

Anwar juga memaklumkan keputusan sama ada menerima dua bekas ADUN Umno iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan menyertai PH hampir dimuktamadkan.

“Status dua bekas ADUN Umno ini hampir tamat, sama ada ia boleh diterima atau tidak. Ada juga perbincangan panjang dan panas untuk memuktamadkan keputusan ini.

“Perubahan ini harus berlaku bukan dengan sikap keras kita. Ia berlaku dengan hemah kita, kebijaksanaan kita, untuk tarik hubungan pada semua pihak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera PH PRN Melaka secara maya di Facebooknya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas tindakan Amanah yang membisu berhubung kedudukan tiga bekas ADUN Melaka yang terbabit dalam menggulingkan kerajaan negeri bulan lalu.

Rafizi mendakwa pimpinan Amanah menggunakan alasan kononnya trio diketuai bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mampu membawa lonjakan kepada PH pada PRN Melaka 20 Nov ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata semua pimpinan PH perlu hormat pandangan parti dalam menilai kemasukan tiga bekas ADUN terbabit.

Katanya, parti dalam komponen PH seperti PKR, DAP dan Amanah yang dahulunya dari pimpinan PAS sudah mempunyai pengalaman masing-masing dalam menilai sesuatu perkara.

“Semua faktor perlu dinilai kerana keputusan itu bukan sahaja melibatkan parti tetapi pengundi selain sentimen rakyat.

“Semua fakta itu kena jelas bahawa ada rundingan antara pimpinan PH Melaka dengan bekas ADUN berkenaan. Rundingan ini menyebabkan mereka memilih untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri,” katanya, menurut laporan FMT.

Jelas Anwar, keputusan sama ada menerima atau tidak tiga bekas ADUN terbabit bergantung kepada persetujuan dan jaminan yang diberikan oleh mereka.

Semalam, Anwar mengakui sukar untuk menolak tiga bekas ADUN Melaka berkenaan dan kurang bersetuju jika ada pihak menyamakan bekas pemimpin Umno dan Bersatu itu dengan kumpulan ‘Langkah Sheraton’.