Panas! Guan Eng penakut, tak mahu jawab call TV3 untuk sahkan perdebatan
SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng diminta menjawab panggilan telefon pihak TV3 sekali gus mengesahkan persetujuan untuk mengadakan perdebatan serampang dua mata dengan Datuk Seri Wee Ka Siong 2 November ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ka Siong yang juga Presiden MCA meluahkan rasa hairannya dengan sikap Guan Eng yang masih membisu mengenai perdebatan itu.
“YB Lim Guan Eng, telefon YB rosak ke sampai tak boleh jawab panggilan TV3? Sibuk sangat ke team YB sampai tak boleh hubungi semula pihak TV3?
“Pihak TV3 telah mencuba banyak kali untuk bercakap dengan YB mengenai perdebatan kita. Mereka juga mahu mendapatkan pengesahan kehadiran YB pada 2 November nanti,” katanya.
Dalam nada seperti mengeluh, Ka Siong tertanya-tanya adakah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan masih berminat mengadakan perdebatan secara langsung dengannya.
“Saya telah pun menyatakan persetujuan atas tarikh 2 November yang disyorkan TV3 sejak dua minggu lalu. Saya juga bersetuju dengan konsep debat secara langsung dalam talian.
“Apa cerita ni YB… Hinggakan pihak TV3 bertanya kepada saya, sama ada YB masih berminat untuk berdebat? Saya memang sudah lama bersedia. YB macam mana?,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Ka Siong menambah, alangkah baiknya perdebatan itu diadakan memandangkan Guan Eng yang mencabarnya dahulu untuk mengadakan perdebatan.
“Daripada YB berterusan merapu dan mencetuskan propaganda dengan ‘meme’, lebih baik YB jawab panggilan TV3 dan usah memberi alasan untuk lari daripada perdebatan,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menafikan dakwaan Ka Siong itu.
Katanya, Guan Eng telah melantik dirinya untuk menguruskan perdebatan melibatkan kedua-dua tokoh pemimpin tionghua itu, mendakwa pihak Guan Eng tidak pernah mengelak apabila menerima panggilan telefon daripada pihak TV3.
“Saya hairan bahawa seorang menteri Persekutuan akan bersikap seperti itu. Guan Eng telah melantik saya untuk menguruskan urusan perbahasan sejak 15 Oktober.
“Dan saya dihubungi oleh TV3 hari ini pada pukul 1.06 tengah hari. Sejak bila kita mengelakkan panggilan dari TV3?,” katanya di Facebook, hari ini, lapor Malaysiapost.
Justeru, Nie Ching menyeru pihak Ka Siong untuk berurusan dengannya mengenai perincian perdebatan tersebut.
“Sekiranya ini sukar bagi pejabat Ka Siong untuk hubungi saya sehingga kami dapat membincangkan format dan perinciannya bersama-sama, sila beritahu saya siapa penyelaras perbahasan anda, saya akan memanggilnya,” katanya.
Pada 30 September lalu, Ka Siong secara terbuka mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.
Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Ka Siong berhubung isu terbabit di Dewan Rakyat.