Panas! Hak orang tidak vaksin untuk mengundi dinafikan SPR, PH bantah!

Panas! Hak orang tidak vaksin untuk mengundi dinafikan SPR, PH bantah!

 

PAKATAN Harapan (PH) membidas larangan terhadap pengundi yang belum lengkap divaksinasi bagi menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi kenyataan bersama Majlis Presiden PH, berkata meskipun pihaknya menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, namun ia tidak boleh dijadikan alasan.

Majlis itu berkata, ia disifatkan sebagai tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos yang berkemungkinan tidak sah di sisi undang-undang.

“Majlis Presiden kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

“Kami turut kesal dengan kenyataan Pengerusi SPR seperti yang dilapor media bahawa hanya pengundi yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh keluar mengundi.

“PH berpandangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih,” kata kenyataan itu, hari ini.

Justeru, PH menggesa SPR mengkaji semula pendirian silap ini, untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dibenarkan keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan.

Dalam pada itu, Majlis Presiden menzahirkan sokongan penuh tindakan mahkamah yang diambil PH Melaka.

“Pada Rabu ini, Pakatan Harapan Melaka melalui sdr Adly Zahari akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Satu sijil perakuan segera (certificate of urgency) telah diturut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi,” katanya.

Mengulas mengenainya, PH berpendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah.

“Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan, di mana KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu.

“Kami juga masih mengekalkan pendirian bahawa Datuk Seri Sulaiman Ali sepatutnya tidak dinamakan sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ memandangkan beliau dengan jelas telah hilang sokongan majoriti sebelum tindakan pembubaran DUN Melaka berlaku,” kata kenyataan itu.

Sementaria itu, PH juga berpendirian bahawa ketika ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN, memandangkan penularan wabak Covid-19 baharu menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula, dan kerisauan akan berlakunya gelombang keempat.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Terdahulu, SPR mengumumkan PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Sallleh berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka berhubung dengan pembubaran DUN Melaka Penggal ke-14 pada 4 Oktober lalu.

“SPR telah menetapkan beberapa tarikh penting bagi PRN Melaka dalam Mesyuarat Khas hari ini iaitu tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober 2021 (Isnin) dan tarikh penamaan calon pada 8 November 2021 (Isnin).

“Tarikh mengundi awal adalah pada 16 November 2021 (Selasa) dan tarikh mengundi pada 20 November 2021 (Sabtu),” katanya, menurut laporan Malaysiapost.