Panas! Hakim tegur Najib buat mahkamah macam kedai kopi

Panas! Hakim tegur Najib buat mahkamah macam kedai kopi

 

Mahkamah Rayuan pagi ini dengan tegas mengingatkan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa mahkamah bukan kedai kopi.

Panel hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, menegur peguam bela Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin yang hadir pada prosiding hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini, panel itu memberi reaksi kepada penjelasan peguam mengenai ketidakhadiran Najib pada prosiding jenayah hari ini kerana didakwa mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Harvinder hari ini meminta pendengaran yang dijadualkan hari ini berhubung permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd ditangguhkan.

Apabila penjamin tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketiadaan Najib, Abdul Karim mengingatkannya dan peguam bahawa perlu lebih banyak bukti lagi untuk menyokong ketidakhadiran Najib di mahkamah hari ini.

“Tarikh perbicaraan hari ini telah pun dimaklumkan, dan penjamin telah dimaklumkan.

“Kita boleh membatalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka.

“Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja,” kata Abdul Karim dengan tegas.

Dia mengingatkan Harvinder bahawa lebih banyak bukti konkrit diperlukan berbanding penjelasan lisan bagi menyokong alasan ketidakhadiran Najib.

Panel itu kemudian menolak permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan bagi permohonan bukti baru hari ini, dan mengarahkan perbicaraan disambung semula pada pukul 12.30 tengah hari ini melalui zoom.

Abdul Karim juga mengingatkan pasukan pembelaan bahawa tarikh keputusan esok untuk rayuan Najib dalam kes SRC belum dilapangkan dan masih diteruskan, sementara menunggu keputusan permohonan bagi mengemukakan bukti baru.

Mahkamah menetapkan esok bagi membuat keputusan berhubung rayuan Najib untuk membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC.