Panas! Hakim tegur peguam Najib asyik tanya soalan yang sama

Panas! Hakim tegur peguam Najib asyik tanya soalan yang sama

Hakim yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menegur barisan pembelaan bekas Perdana Menteri itu agar tidak bertanyakan soalan yang sama berulang kali.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menegur barisan pembelaan agar tidak bertanyakan soalan yang mana jawapannya telah dengan terang dan nyata tertulis di dalam dokumen yang ditunjukkan kepada saksi.

Go straight for the jugular (Pergi terus kepada soalan utama). Jawapan sudah sedia ada di dalam dokumen (bukti) yang ditunjukkan kepada saksi, kenapa perlu tanya lagi saksi perkara yang sama,” jelas hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan bantahan oleh salah seorang peguam Najib, Datuk Hariharan Tara Singh mengenai peranan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

“Yang Arif, saya sudah lama bersabar, perkara yang ditanyakan mesti relevan. Pembelaan telah bertanyakan soalan yang sama kepada Shahrol Azral sebelum ini dan persoalan itu sudah pun diperjelaskan.

“Saya cuma mahu menjimatkan masa mahkamah, ini hanya membuang masa sahaja. Isu yang telah dikemukakan sebelum ini kini dibangkitkan berulang kali,” kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Berpandangan serupa, Hakim Sequerah menyatakan sekiranya barisan pembelaan terus menggunakan cara menyoal soalan yang sama terhadap saksi yang berlainan, maka perbicaraan itu akan menjadi tidak berpenghujung.

“Saya tidak nampak penyudahnya bagi saksi ini sekiranya keadaan ini berterusan. Saya sebenarnya telah memberikan banyak peluang (kepada pembelaan) tetapi tidak bolehkah perkara ini dirumuskan sahaja. Kamu hanya soal apa yang kamu ingin nyatakan dan selebihnya kamu kemukakan dalam hujahan kamu,” kata hakim itu.

Bagaimanapun peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit memaklumkan mahkamah kes membabitkan anak guamnya itu bukanlah satu kes yang mudah.

Jelasnya, pihaknya perlu menunjukkan bahawa Najib merupakan ‘mangsa’ dalam kes ini sehingga terpaksa berada di kandang tertuduh sedangkan pihak pengurusan 1MDB terdahulu merupakan ‘dalang sebenar’.

Oleh itu, pembelaan tidak akan mengikut rentak pendakwaan dalam menyoal balas saksi-saksi pendakwaan, kata peguam terbabit.

“Ada sesetengah perkara kami perlu tanya kepada saksi kerana ia membabitkan isu yang sukar dan ia membabitkan dokumen yang banyak,” kata Muhammad Shafee.

Perbicaraan bersambung esok.