Panas! Idris Haron sertai AMANAH?

Panas! Idris Haron sertai AMANAH?

Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dalam parti gugur secara automatik, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Beliau berkata, keahlian kedua-dua ADUN itu tergugur secara automatik selepas terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

“Kedua-dua mereka sudah secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri.

“Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya pada sidang akhbar, hari ini, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.

Dua lagi ADUN ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (BEBAS-Pengkalan Batu).

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyifatkan empat ADUN yang beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan tidak ubah seperti serpihan duri yang keluar daripada daging.

Katanya, ia terbukti apabila kepercayaan yang diberikan kepada mereka dalam menubuhkan kerajaan negeri baharu pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Mac tahun lalu, dibalas dengan sesuatu yang sangat mengejutkan.

“Anggapan saya sepanjang memberikan kepercayaan kepada Sulaiman untuk menguruskan kerajaan negeri, saya tidak memilih sama ada mereka duri atau daging. Kalau mereka nak jadi duri, terserah kepada mereka, tetapi hari ini terbukti mereka benar-benar sudah jadi duri kepada daging yang dihidangkan kepada mereka,” katanya.

Ab Rauf berkata, beliau bersama kerajaan negeri dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.

Katanya, pihaknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Mohd Ali untuk meleraikan kemelut politik yang melanda negeri ini.

“UMNO Melaka bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Tuan Yang Terutama (TYT) Tun memutuskan untuk berbuat demikian.

“Walau apa yang berlaku sekali pun, barisan kepemimpinan parti bersama-sama Barisan Nasional (BN) negeri akan tetap mempertahankan kerajaan serta negeri tercinta itu. Kami sentiasa bersedia 24 jam bagi menghadapi 1,001 kemungkinan,” katanya.