Panas! Ini rupanya artis yang ditangkap memiliki dadah
Seorang pengarah, penolongnya serta seorang pelakon mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memiliki dadah.
Mohd Latiff Zami, 49; Saiful Zaidrin Ismail, 46; dan Muhamad Niezam Mohd Zaidi membuat pengakuan itu di hadapan majistret Mohd Shazmeer Zamhari pagi tadi.
Berdasarkan kertas pertuduhan Mohd Latiff didakwa memiliki 0.3 gram dadah jenis kanabis manakala Saiful Zaidrin memiliki 0.38 gram methamphetamine di sebuah rumah di Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar pada petang Ahad lalu.
Menurut Harian Metro, Muhamad Niezam yang berlakon dalam filem Hantu Bungkus Ikat Tepi itu pula didakwa memiliki 1.15 gram kanabis pada tarikh dan waktu yang sama.
Dia dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ke atas Saiful Zaidrin pula ia dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Shafini Mior Shahrin.
Nur Syuhada memohon mahkamah menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Muhamad Niezam dan Mohd Latiff.
Bagi Saiful Zaidrin pula Nur Syuhada memohon mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Intan Shafini bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu diringankan kerana berpendapat mahkamah perlu mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh selain mereka semua kehilangan sumber pencarian sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan lalu.
Mohd Shazmeer kemudian membenarkan Muhamad Niezam diikat jamin RM3,000 dan RM2,600 kepada Mohd Latiff, manakala Saiful Zaidrin dibenarkan diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Majistret itu juga menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia disediakan.