Panas! ISMA tuduh tapak masjid dibina kuil

Panas! ISMA tuduh tapak masjid dibina kuil

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diminta memberi penjelasan segera berhubung status pemilikan tanahnya yang dikatakan akan dibina sebuah kuil.

Ini susulan bantahan dikemukakan Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan berhubung cadangan dan usaha pembinaan kuil di tapak pembinaan masjid di kawasan mereka.

Memetik Samudera.my, berdasarkan memorandum yang dihantar pada 11 September lalu, tanah tersebut didakwa sebagai hak milik JHEAINS.

Mengambil maklum isu berkenaan, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika benar dakwaan tanah itu milik JHEAINS, maka ada sesuatu yang tidak kena sekiranya kelulusan cadangan membina kuil boleh berlaku.

“Harapnya tiadalah tangan-tangan politik yang mengatur di belakang tabir kerana jika diikutkan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan perlu segera memberikan penjelasan tentang status pemilikan tanah yang sebenar.

“Apakah ianya benar adalah tanah rizab bagi masjid seperti yang didakwa penduduk sekitar? Jika ianya benar, maka apakah status tanah telah berubah dan bagaimana ianya boleh berubah?” soalnya dalam kenyataan, hari ini, lapor Ismaweb.

Sekiranya terdapat sebarang kepincangan dalam isu ini, beliau menggesa pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dengan segera sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Jika ada orang politik yang terlibat, maka seretlah segera ke muka pengadilan. Kita mahu lihat siapakah yang sanggup mempertaruhkan agama dan keharmonian masyarakat demi habuan duniawi itu.

“Saya berharap agar penduduk setempat juga dapat membuat laporan polis dan SPRM negeri supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan lanjut. Kami akan cuba menghubungi wakil penduduk untuk menawarkan apa-apa yang boleh dibantu, jika perlu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang cuba menghubungi pihak berkaitan untuk penjelasan lanjut mengenai isu ini.