Panas! Kerajaan Kedah akan balak 75 ribu hektar, alasannya kerana terpaksa

Panas! Kerajaan Kedah akan balak 75 ribu hektar, alasannya kerana terpaksa

KERAJAAN negeri Kedah terpaksa membenarkan pembalakan di kawasan seluas 75,000 hektar yang telah diluluskan sebelum ini bagi mengelak implikasi undang-undang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata,  ini termasuk 25,000 hektar di Ulu Muda tertakluk kepada beberapa syarat termasuklah pembukaan pembalakan tahunan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Majlis Tanah Negara menetapkan catuan dihadkan kepada 4,200 hektar setahun.

“Dengan catuan tebangan 4,200 hektar setahun, tempoh diperlukan untuk menebang semua pokok yang diluluskan membabitkan 75,000 hektar hanya akan habis 18 tahun lagi,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sanusi memberikan penjelasan itu sebagai menjawab soalan lisan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jitra) mengenai rasional kerajaan negeri meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda dan adakah kerajaan negeri tiada inisiatif lain untuk menjana ekonomi negeri.

Mnurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri tiada pilihan selain meneruskan aktiviti pembalakan itu berikutan ada syarikat konsesi telah membayar premium sebanyak 100 peratus, 75 peratus dan 25 peratus.

Katanya, jika konsesi yang telah diluluskan itu dibatalkan maka kerajaan negeri perlu membayar semula premium ataupun berdepan dengan tindakan mahkamah.

“Aktiviti pembalakan di Ulu Muda dijalankan dengan kaedah mesra alam sekitar dengan penggunaan mesin ataupun jentera pengusahasilan sistem ‘log fisher’ seperti mana diperkenalkan di Pahang.

“Selain itu, Kedah juga menambah jarak penampan daripada 20 meter kepada 40 meter supaya tidak masuk ke aliran air dan mengeruhkan keadaan di kawasan itu,” katanya, lapor Suara Merdeka.