Panas! Kesatuan pekerja tempelak kerajaan buli orang tidak vaksin

Panas! Kesatuan pekerja tempelak kerajaan buli orang tidak vaksin

 

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membantah sebarang bentuk diskriminasi, membuli dan menggugat maruah rakyat yang enggan divaksin.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa “kerajaan mungkin tidak mewajibkan vaksinasi Covid-19 sebaliknya mereka yang enggan divaksin akan berdepan kehidupan yang sukar” adalah tindakan membuli rakyat yang membuat pilihan untuk tidak divaksin.

“Kerajaan mengakui bahawa vaksin bukanlah satu penyelesaian untuk Covid-19. Sama ada divaksin atau tidak, seseorang itu masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

“Bahkan negara seperti Singapura dan Israel telah membatalkan polisi asal pasport vaksin untuk perjalanan kerana mereka menyedari bahawa tidak ada nilai epidemiologi ekoran peningkatan ketara jumlah jangkitan dalam kalangan mereka yang telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Khairy tidak boleh mengugut untuk mendapatkan persetujuan mereka yang enggan divaksin dengan bertindak secara diskriminasi dan memulau serta melabelkan mereka sebagai antivaksin.

Katanya, memaksa mereka yang enggan divaksin juga merupakan satu bentuk pencabulan.

Tambah beliau, berdasarkan faktor itu, ia mengundang tanggapan bahawa orang awam dan pekerja yang tidak divaksin boleh membahayakan kesihatan mereka yang telah divaksin adalah tidak betul.

Katanya, mereka yang enggan divaksin mempunyai pelbagai alasan sama ada disebabkan masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi serta tidak kurang yang memilih untuk bergantung kepada imuniti secara semula jadi, memetik laporan FMT.

Solomon turut menggesa kerajaan dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya menasihati Jemaah Menteri agar menghormati hak rakyat, menghentikan diskriminasi dan juga ugutan terhadap mereka yang enggan divaksin.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggunakan cara sombong kerana membuat ugutan dan menghukum golongan antivaksin.

Beliau berkata, golongan berkenaan perlu didekati kerana pihak kerajaan sepatutnya berperanan sebagai badan memujuk, memberi penerangan dan jawapan berdasarkan dapatan kajian saintifik lebih berkualiti bagi mematahkan hujah kumpulan terbabit.

Khairy pada Sabtu berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan tegas dengan “menyusahkan” mereka yang enggan menerima vaksin.

Bagaimanapun katanya, bagi yang tidak dapat divaksin atas alasan kesihatan, mereka tidak akan menghadapi apa-apa kesulitan kerana akan diberikan pengecualian digital MySejahtera.