Panas! KJ saman Ustaz Abu Syafiq isu vaksin

Panas! KJ saman Ustaz Abu Syafiq isu vaksin

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan penceramah, Mohd Rasyiq Mohd Alwi, berhubung hantaran atas talian berkait program vaksinasi Covid-19.

Khairy memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Rashid Zulkifli minggu lalu, menamakan Lokman dan Rasyiq, yang juga dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, sebagai defendan.

Beliau mengemukakan saman terhadap dua individu terbabit berhubung siri hantaran atas talian yang dibuat antara 20 Okt lalu dan 10 Jan.

Dalam kenyataan tuntutan Khairy berkata, beliau memfailkan saman berkenaan atas kapasiti peribadi terhadap Lokman kerana memfitnahnya menerusi dua video, memuat naik gambar dalam akaun Facebooknya pada 6 Jan dan membuat kenyataan “langsung” menerusi aplikasi itu dan YouTube pada 10 Jan.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Rasyiq memfitnahnya dengan melmbuat empat kenyataan dan menerbitkan tiga video dan satu gambar menerusi akaun Instagram miliknya antara 20 Okt dan 10 Jan.

Khairy juga menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan dan mahu defendan membuang hantaran yang didakwa memfitnah.

Beliau turut menuntut kedua-dua mereka mengeluarkan kenyataan menarik balik dakwaan dilakukan dan secara terbuka memohon maaf dalam akaun YouTube masing-masing dan akaun media sosial lain yang dikenal pasti olehnya.

Khairy, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 berkata, defendan melakukan fitnah melalui hantaran atas talian yang mengandungi beberapa dakwaan berhubung usaha vaksinasi Covid-19 yang dilakukan kerajaan.

Antaranya, menuduhnya beliau bertindak melulu dan tidak bertangunggjawab dalam membuat perolehan vaksin Covid-19 bagi program vaksianasi, selain dakwaan yang dikaitkan dengan status vaksinasi Covid-19 dirinya.

Katanya, hantaran atas talian yang dibuat oleh kedua-dua defendan adalah bertentangan dengan kepentingan awam kerana merendahkan usaha Putrajaya melawan pandemik Covid-19.

Khairy menegaskan bahawa beliau “bertindak dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan program vaksinasi Covid-19″.

“Sifat penerbitan fitnah defendan jelas direka untuk menjejaskan usaha plaintif, usaha semua orang di Kementerian Kesihatan dan kerajaan dalam pertempuran sedia ada untuk melawan Covid-19.

“Penerbitan berkenaan menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap Covid-19, menjejaskan data rasmi dan fakta yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan kepada orang awam,” katanya.

Khairy berkata, dakwaan kenyataan fitnah itu menjejaskan kredibiliti dan niat baiknya, selain mengakibatkan dirinya tertekan.

Katanya, tindakan itu menghakis kepercayaan dan keyakinan orang awam terhadap peribadi dan kapasiti dirinya secara profesional.

Selain itu, tindakan berkenaan menyebabkan dirinya diseret ke dalam skandal awam, odium dan penghinaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 28 Feb.