Panas! Lagi kes buli berlaku, kali ini di Muar

Panas! Lagi kes buli berlaku, kali ini di Muar

DUA pelajar sebuah sekolah menengah di Muar ditahan selepas dipercayai terbabit kes buli seorang pelajar hingga cedera di bahagian rusuk kiri dan terpaksa dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata pihaknya menerima laporan pada 4.03 petang Selasa lalu, berkaitan seorang remaja lelaki yang juga pelajar sebuah sekolah menengah telah dibuli oleh pelajar-pelajar ‘senior’.

Menurutnya, kes berkenaan berlaku pada 9 Disember lalu yang mengakibatkan mangsa mengalami bengkak di bahagian rusuk kiri dan telah menerima rawatan di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari beberapa pelajar ‘senior’ yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya menyebabkan mereka dibuli.

“Tindakan susulan telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan berjaya menahan dua suspek yang dipercayai terlibat.

“Tangkapan membabitkan remaja berusia 16 tahun itu dibuat di Kuala Sungai Baru, Melaka dan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain dua pelajar yang ditahan itu polis kini sedang giat mengesan suspek lain yang disyaki terlibat dengan perbuatan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Polis memandang serius terhadap kes jenayah membabitkan pelajar, khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit,” katanya, memetik Malaysiapost.