Panas! Mahathir kata takkan sokong MoU seumpama rasuah!

Panas! Mahathir kata takkan sokong MoU seumpama rasuah!

Pejuang tidak akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan seperti Pakatan Harapan (PH) kerana seolah-olah terdapat unsur “rasuah” dalam perjanjian itu, kata pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dalam sistem demokrasi parti pembangkang seharusnya mempunyai kebebasan dalam melakukan teguran kepada kerajaan.

“Kita dapati bahawa kalau kita ambil bahagian kerana kita dapat pulangan tertentu, itu bagi kita tak sesuai kerana dia nampak seolah-olah ada unsur rasuah di situ. Iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami,” kata bekas perdana menteri itu pada satu sidang media di Langkawi, hari ini.

“Lainlah kalau kita ada unity government. Unity government bukan perjanjian tetapi semua orang ada kuasa yang sama.”

Pada Isnin, MoU ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin utama PH, iaitu Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Antara intipati utama MoU antara kerajaan dan PH termasuklah pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Semalam veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MoU persefahaman dengan Ismail, mengatakan gencatan senjata politik perlu dilaksanakan dalam tempoh 10-18 bulan akan datang.

Sebelum ini Presiden Warisan Shafie Apdal yang turut menolak untuk menyokong Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan, mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam rundingan yang disifatkan sepihak antara kerajaan dengan PH.

Mahathir berkata hari ini, sekiranya kerajaan mahu memberikan sebarang kemudahan, ia seharusnya diberikan kepada semua ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Jangan ada pilih orang yang berjanji sokong sahaja yang kita nak bagi. Sebab itu pihak Pejuang kita buat keputusan tidak akan terlibat.

“Kita akan bebas dan kita akan jadi pembangkang dan tidak ada perjanjian dengan kerajaan untuk ‘quid pro quo’, kita bagi, dia bagi,” katanya, lapor Malaysianow.

Mahathir turut mendedahkan, partinya tidak diundang dalam perbincangan antara kerajaan dan PH sebelum MoU itu ditandatangani.