Panas! Mahkamah diberitahu Zahid guna duit Yayasan Akalbudi untuk beli-belah mewah

Panas! Mahkamah diberitahu Zahid guna duit Yayasan Akalbudi untuk beli-belah mewah

 

Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu bagaimana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya telah berbelanja secara mewah menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya antara tahun 2014 sehingga 2016.

Perbelanjaan kad kredit Ahmad Zahid yang digunakan mencecah ratusan ribu ringgit dalam tempoh sebulan sahaja.

Itu antara hujah akhir yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika prosiding kes rasuah, pecah amanah Yayasan Akalbudi ketika ini.

Berdasarkan penyata kad kredit Ahmad Zahid, jumlah keseluruhan yang digunakan untuk membayar kad AmBanknya berjumlah RM534,412.52 pada tahun 2014, RM708, 134.47 pada tahun 2015 dan RM54,168.99 pada Januari 2016.

Ahmad Zahid juga telah membayar kad kredit Maybank iaitu RM30,771.19 untuk bulan Februari 2014 dan RM30,635.80 bagi Julai 2015.

Raja Rozela berhujah, Ahmad Zahid dan isterinya berbelanja secara mewah Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.

Perbelanjaan beliau menggunakan kad kredit itu kemudian dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

“Yang Arif, walaupun perbelanjaan-perbelanjaan mewah yang saya sebut hari ini mungkin tidak mempunyai isu dalam kes kita ini, namun pada masa sama kita juga tertanya-tanya adalah mereka (Ahmad Zahid dan isteri) ini terfikir nasib orang miskin di negara kita.

“Ini kerana mereka ini membeli belah di kedai terkemuka dunia seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes, saya hanya sebut beberapa sahaja. Sangat meragukan sekali,” katanya, lapor Malaysia Gazette.

Sambung beliau lagi, kesemua perbelanjaan mewah itu juga bukan daripada poket Ahmad Zahid atau isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, sebaliknya menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

“Malah tertuduh juga mempunyai kuasa dominan terhadap semua aset yayasan sehingga mempergunakan semua dana seperti miliknya sehingga telah menyalahgunakan dana mencecah RM131 juta.

“Beliau menggunakan dana Yayasan Akalbudi membayar pelbagai perkara termasuklah kad kredit, insurans kenderaan selain pembayaran cukai jalan untuk 20 buah kenderaan milik persendiriannya, kelab bola sepak polis, pinjaman kepada dua buah dan sebagainya,” tegas Raja Rozela.

Mahkamah ketika ini sedang mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagon Datuk merangkap Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman.

Dana itu juga telah disumbang  kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Juga denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.