Panas! Mahkamah didedah penyata kad kredit Zahid ada pembelian Armani, LV, Hermes
PASUKAN pendakwaan mempersoalkan penemuan dalam penyata kad kredit milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan bukti pembelian barang berjenama seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.
Pendedahan itu sebahagian bukti perbankan lebih RM1.3 juta dana milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membayar bil kad kredit Presiden UMNO itu dan isterinya.
Portal Agendadaily melaporkan, pasukan pendakwaan menyerahkan 43 cek atas nama Yayasan Akal Budi yang dikeluarkan untuk membuat pembayaran bil kad kredit antara Januari 2014 sehingga Januari 2016.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam hujahannya berkata terkejut apabila melihat bukti perbankan tersebut yang secara tidak langsung memperlihatkan tabiat Zahid dan isteri yang gemar membeli-belah.
“Apabila kami melihat sendiri penyata kad, Ya Allah, kita akan dapat lihat tabiat berbelanja tertuduh dan isteri.
“Walaupun tabiat perbelanjaan defendan dan isterinya mungkin bukan isu dalam kes ini, seseorang tidak akan dapat mengelak dari mempersoalkan sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika membeli-belah barangan mewah di butik Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes, sekadar menyebut beberapa nama,” katanya.
Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Zahid membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.
Bagi pembayaran kad kredit, Ahmad Zahid menggunakan wang yayasan itu untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).
Penggunaan kad kredit tersebut juga disahkan Naib Presiden Kanan Ambank, Yeoh Eng Leong sebagai saksi pendakwaan ke-10.
Yeoh mengesahkan penyata kad kredit dari Disember 2013 hingga Januari 2016 bagi dua kad kredit utama Zahid dan dua kad kredit tambahan bagi isterinya dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,479,085.44 atau hampir RM1.48 juta dalam tempoh tersebut.
Penyata kad kredit Ambank menunjukkan kad kredit tersebut digunakan di dalam dan luar negara, ia termasuk Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Australia, AS, UK, Itali, Ukraine dan Dubai di UAE.
Penyata kad kredit Ambank juga merekodkan perbelanjaan barangan jenama fesyen mewah, seperti Brioni (berjumlah RM50,278.60 melalui dua transaksi di Kuala Lumpur dan New York), Hermes (berjumlah RM49,058.95 melalui tiga transaksi di Milan dan Rom di Itali), Burberry (berjumlah RM44,145.67 melalui dua transaksi di Hong Kong dan New York), Louis Vuitton (berjumlah RM43,127.43 dalam lima transaksi di Galeri Starhill KL, Australia dan Jakarta), Giorgio Armani (berjumlah RM19,866.72 melalui dua transaksi di Australia dan Rome), dan Tods (berjumlah RM11,521,95 di Kuala Lumpur dan Jakarta), Ermenegildo Zegna di London (RM55,402.40) dan Tory Burch (RM19,972.97).
Terdahulu, Naib Presiden Maybank, Anoop Singh Gulzara Singh sebagai saksi pendakwaan kesembilan juga mengesahkan penyata kad kredit bagi tempoh 2014 hingga 2015 melibatkan tiga kad kredit yang dikeluarkan kepadaZahid, termasuk RM5,900 di outlet KLCC Louis Vuitton pada Jun 2014, RM7, 604.90 di Ukraine pada Ogos 2014, serta RM30,635.80 dan RM1,810.66 di Seoul, Korea pada tahun 2015.
Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.