Panas! Menteri agama mahu pastikan PH tidak berkuasa kembali di Melaka

Panas! Menteri agama mahu pastikan PH tidak berkuasa kembali di Melaka

 

PAS akan pastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi berkuasa di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hak Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Justeru, beliau berkata, Pas kini menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk PRN Melaka bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya itu nanti.

Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibantu Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat serta Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka untuk merangka pelan strategik sekiranya PRN dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Matlamat Pas di dalam PRN Melaka yang bakal diadakan itu sangat jelas iaitu untuk memastikan PH tidak lagi berkuasa di negeri itu.

“Mengenai jumlah kerusi yang Pas akan bertanding pula, ia sedang dibincangkan termasuk perbincangan dengan rakan parti lain secara bersama bagi mengukuhkan perpaduan memastikan PH tidak lagi berkuasa.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian Musa’adah Banjir kepada Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pegawai yang didapati melakukan penyelewengan di 14 agensi di bawah Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri akan diambil tindakan tegas termasuk dipecat serta-merta.

Beliau berkata, kementeriannya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sebegitu kerana tidak mahu berkompromi dengan mereka yang tidak amanah dan tiada integriti dalam menjalankan tugas.

“Sekiranya ada penyelewengan berlaku, kita tidak teragak-agak untuk memecat pegawai yang terbabit dan orang seperti itu tidak perlu di simpan.

“Semua 14 agensi di bawah saya akan bertemu pada setiap Isnin bagi melaporkan apa yang mereka laksanakan dan saya sudah melantik seorang pegawai untuk mengendalikan pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap agensi dan KPI 100 hari kementerian,” katanya, lapor Harian Metro.