Panas! Mokhtar Senik suruh pemimpin pertikai Hadi supaya walak

Panas! Mokhtar Senik suruh pemimpin pertikai Hadi supaya walak

 

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini mengingatkan ahli parti itu kepada konsep walak ketika ada pihak mendakwa wujud gerakan dalaman mempersoalkan kepimpinan Abdul Hadi Awang.

Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik berkata ketika ini parti lawan mereka “siang malam” sedang berusaha menggugat kewalakan ahli parti.

“Walak adalah tali yang dipintal dengan iman dan ilmu yang telah menjadi tali pengikat kukuh antara ahli dan pimpinan serta jamaah.

“Lalu tali ini akan cuba diputuskan oleh parti lawan,” katanya.

Tambah Mokhtar antara usaha yang dibuat ialah mencipta gambaran kononnya ada kumpulan mahu menjatuhkan Abdul Hadi yang kemudian diikuti pula dengan kumpulan mempertahankan ahli parlimen Marang berkenaan.

“Melalui fake akaun (akaun palsu), petikan-petikan ucapan individu tertentu yang dipetik di luar konteks sebenar akan dijadikan dalil penguat. Maka berlakulah serang menyerang antara satu sama lain,” katanya.

Semalam satu klip audio ditularkan di media sosial. Ia didakwa merakamkan percakapan pemimpin kanan PAS yang mengulas sikap presiden mereka yang membimbangkan.

Menurut rakaman audio berkenaan, individu terbabit mendakwa Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding BN namun pada masa sama tetap mahu “meraikan” gabungan kedua.

“Ayat itu Tok Guru (Abdul Hadi) selalu ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” kata suara tersebut.

Malaysiakini belum lagi dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip audio itu dan masih cuba mendapatkan maklum balas daripada pemimpin yang dirujuk itu.

Pemilik akaun yang membuat pendedahan berkenaan juga mendakwa ia ditularkan bagi menunjukkan bagaimana pemimpin kanan terbabit cuba “menyailang” (mencantas) presiden PAS.

Kata Mokhtar PAS mesti berwaspada dengan “jerat” berkenaan dan peringatan itu turut ditujukan kepada ahli “yang berilmu” kerana mereka juga terdedah kepada risiko terbabit sama dalam kemelut berkenaan.

“Sesungguhnya orang yang tunduk kepada nafsu dan keinginan tersembunyi dalam perjuangan pasti akan terperangkap sekalipun berilmu dan alim,” katanya.