Panas! MP Kulai mengamuk!, mana pergi laptop B40?

Panas! MP Kulai mengamuk!, mana pergi laptop B40?

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching hari ini meluahkan rasa kecewa dan marah beliau di Dewan Rakyat susulan kegagalan kerajaan menyerahkan sejumlah besar komputer riba kepada pelajar-pelajar dalam kategori B40.

Menyuarakan perkara itu ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau mengakui tidak tahu cara untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu itu ekoran beberapa kementerian saling mengelak untuk menjawab.

“Sewaktu penggulungan Titah Diraja, Timbalan Menteri Kewangan cakap, sila tanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Apabila tanya KPM, KPM cakap peranti digital itu belum diterima daripada Yayasan Hasanah.

“Kami tidak ada wakil Yayasan Hasanah di sini (Dewan Rakyat). Takkan (dalam) satu Kabinet yang paling besar ini tak ada seorang pun yang boleh menjawab dalam Dewan ini… Siapa yang perlu dipertanggungjawab terhadap kelewatan yang melampau ini?

“Saya rasa pandai sangat Kabinet ini untuk ‘tendang bola’. KPM ‘tendang’ kepada Yayasan Hasanah, saya rasa jemaah menteri ini kalau bentuk satu pasukan boleh jadi juara dunia… saya rasa ini terlalu melampau,” luahnya dalam nada kecewa ketika membahaskan usul tersebut.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, sejak bulan November tahun lalu beliau telah menegaskan bahawa 150,000 komputer riba untuk pelajar B40 adalah tidak mencukupi.

Malah, katanya, kajian KPM sendiri menunjukkan bahawa 37 peratus bersamaan 1.7 juta murid-murid tidak ada peranti yang sesuai.

“Maksudnya, kerajaan ini mengambil (melengahkan) masa sahaja. Selepas 300 hari tidak boleh menyerahkan 150,000 komputer riba kepada B40.

“Siapa yang nak bantu golongan ini? Kenapa kita pakai duit GLC (syarikat berkaitan kerajaan)? Kenapa bergantung sumbangan daripada GLC?

“Takkan kerajaan ini tidak ada duit untuk beri komputer riba kepada anak-anak B40?

“Apabila nak ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri, RM35 juta tak ada masalah. Luluskan serta-merta.

“Apabila kita nak hantar komputer riba kepada anak-anak. Kita tunggu dan tunggu dan sampai hari ini kita masih tunggu. Tak malu ke menteri-menteri duduk di sana? Langsung tak ada malu,” katanya, lapor Astro Awani.