Panas! Mufti tegur anak Muhyiddin guna nama ala kristian

Panas! Mufti tegur anak Muhyiddin guna nama ala kristian

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, menggunakan gelaran seperti ‘priest’ boleh disalah anggap kerana ia biasanya merujuk kepada pembesar dalam agama lain.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, walaupun pada asasnya sesuatu tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai syubhah, keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila membawa kepada haram.

“Ia dipanggil syubhah (kerana) itu nama panggilan kepada pembesar dalam agama lain. Maknanya nama yang mengelirukanlah,” jelasnya.

Oleh itu, umat Islam adalah dinasihatkan agar mengelak diri masing-masing dari terlibat dengan tindakan yang boleh disalah faham atau dikaitkan dengan agama lain.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki Muslim yang menggunakan gelaran Moslem Priest dan dipercayai merupakan seorang deejay kelab malam.

“Dalam Islam tak ada istilah paderi atau ‘priest’, yang ada haji, ataupun ulama kalau seseorang itu ada ilmu.

“Justeru istilah ‘priest’ itu digunakan dalam agama selain daripada Islam… tepatnya agama Kristianlah,” ujar beliau lagi.

Menurut wartawan Muhammad Tasnim Abd Halim, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad turut berkongsi pandangan yang sama.

Jelasnya, seseorang yang mengaku Islam tidak boleh berbuat perkara yang berkaitan agama lain pada diri mereka misalnya mengenakan pakaian kuning sehingga boleh dianggap seumpama sami Buddha.

Beliau turut mempersoalkan tujuan di sebalik nama itu digunakan, sama ada bertujuan untuk bersuka-suka atau berbangga-bangga.

“Kalau dia dah berbangga-bangga dengan agama itu, memang dilarang Islam,” tambah beliau.

Namun, ianya mungkin boleh dimaafkan jika individu terbabit bertindak sedemikian dalam keadaan jahil.

Sememangnya tindakan sedemikian memang dilarang dalam Islam kerana ianya membawa kesan buruk termasuk mengelirukan serta mengundang fitnah.

“Dalam hadis nabi ada disebutkan bahawa sesiapa yang cuba menyerupai perbuatan agama lain, maka dia sebahagian daripada mereka itu.

“Itu tanda kemarahan (larangan keras) Islam, dengan bahasa lain, ia ditegah.

“Kita seolah-olah sudah menghina agama kitalah kerana Nabi Muhammad kata Islam itu berada di tempat paling tinggi, maka tidak ada alasan lain yang boleh mengatasi Islam,” tambahnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa seseorang Muslim perlu berbangga dengan ciri serta ajaran Islam dan tidak mencampur-adukkannya dengan agama lain yang boleh dianggap seperti mempersenda Islam.