Panas! Najib cabar ‘apek’ Kit Siang berdebat

Panas! Najib cabar ‘apek’ Kit Siang berdebat

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mencabar Veteran DAP, Lim Kit Siang untuk berdebat secara terbuka dengannya.

Najib mencabar Kit Siang untuk berdebat dengannya kerana mendakwa Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sering memberi kenyataan mengelirukan terutama berkaitan isu ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Kit Siang mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan bahawa dia tidak taksub dengan saya tetapi bimbang tentang masa depan negara.

“Secara khususnya, Kit Siang berkata beliau bimbang tentang masa depan negara kerana kita akan terus kalah kepada Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam,” katanya di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Najib berkata, beliau mengakui sebelum menjadi Perdana Menteri pada April 2009, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia ketinggalan di belakang empat negara berkenaan.

Jelasnya, kadar pertumbuhan ekonomi itu dilaporkan lebih rendah daripada empat negara berkenaan untuk hampir keseluruhan tempoh zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh.

“Sebab itu apabila saya menjadi PM, saya telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Negara (NTP) pada 2010 dengan matlamat dan tindakan yang jelas untuk menangani perkara ini.

“Hasilnya jelas menunjukkan sejak 2010, kadar KDNK Malaysia (catat pertumbubuhan) dua kali lebih rendah daripada Singapura, lebih rendah daripada Taiwan sekali, dan tidak pernah ditewaskan Korea Selatan dalam tempoh tujuh tahun berikutnya sehingga kerajaan BN jatuh pada 2018,” katanya.

Justeru, Najib berkata, perdebatan itu penting susulan beberapa kenyataan Kit Siang yang menunjukkan beliau tidak faham beberapa terma dan pengiraaan berkaitan dengan isu yang dibangkitkannya.

Najib yang membahasakan Kit Siang sebagai ‘Uncle’ berharap dapat berdebat dengannya meskipun sebelum ini Kit Siang pernah membatalkannya pada saat akhir.

“Dan inilah sebabnya penting bagi Kit Siang untuk berbahas dengan saya berkaitan isu selepas PRU14.

“Pada mulanya Uncle cabar saya untuk berdebat. Kemudian saya terima. Tetapi selepas saya terima, Uncle mengelak dan menarik diri dengan memberi alasan bahawa perbahasan saya boleh bertukar menjadi konflik Melayu vs Cina.

“Bagi saya dan ramai yang lain, alasan beliau agak gila kerana saya tidak pernah melihat sebarang rusuhan kaum dan agama tercetus apabila seorang ahli parlimen Cina bertembung dengan orang Melayu dalam perbahasan parlimen.

“Oleh kerana tiada peluang untuk saya berbahas Kit Siang, saya menawarkan dia peluang untuk memanggil saya penipu dengan membuktikan kenyataan berikut adalah palsu atau pembohongan,” katanya.