Panas! Nazri Aziz kata apa salahnya lantik Najib jadi penasihat ekonomi PM

Panas! Nazri Aziz kata apa salahnya lantik Najib jadi penasihat ekonomi PM

SUATU kerugian jika kerajaan tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertaraf menteri, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohamed Nazri berkata pelantikan itu boleh dipertimbangkan kerajaan memandangkan bekas Perdana Menteri keenam itu ketika ini tiada ‘kerja’ dan banyak masa terluang, lapor Sinar Harian.

Walaupun berdepan sabitan kes mahkamah, Mohamed Nazri berkata tiada masalah untuk Najib turut terlibat dalam pentadbiran kerajaan kerana sepanjang menjadi Perdana Menteri, banyak dasar ekonomi negara diperkenalkan beliau disukai rakyat.

“Apa salahnya lantik Najib sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri kerana beliau sekarang memang tidak ada ‘kerja’.

“Dengan beliau dibayar elaun pencen dan diberikan kemudahan sebagai bekas Perdana Menteri termasuk pengawal keselamatan, pemandu serta polis pengiring ‘percuma’, rugilah kalau kerajaan tidak beri beliau ‘kerja’ yang boleh menguntungkan negara.

“Lagipun sepanjang sembilan tahun beliau mentadbir kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak dasar ekonomi diperkenalkan Najib yang memberi impak positif serta disukai rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya.

“Kena ingat, bila BR1M diperkenalkan, inisiatif Najib itu berjaya memastikan ekonomi negara dirangsangkan secara menyeluruh ke seluruh negara dan tidak sekadar tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, walaupun Najib telah disabitkan kesalahan terhadap kes mahkamah, ia masih di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan dan tiada masalah untuk beliau dilantik ke jawatan berkenaan.

“Selagi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan belum diputuskan dan beliau masih bergelar Ahli Parlimen, tiada masalah untuk jawatan penasihat diberikan kepada Najib. Cuma kalau rayuan beliau ditolak, itu nanti cerita lain,” katanya.

Mohamed Nazri menambah, cadangan pelantikan jawatan penasihat itu juga penting bagi memastikan kedudukan Najib setaraf dengan Tan Sri Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.