Panas! NGO Islam kata rakyat masih menanti mana keadilan buat Allahyarham Adib

Panas! NGO Islam kata rakyat masih menanti mana keadilan buat Allahyarham Adib

Selepas tiga tahun, rakyat benar-benar mengharapkan keadilan akan menyebelahi bekas anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim – yang terkorban ketika bertugas dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 2018.

Atas dasar itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd. Nor Izzat Johari berharap kes ini tidak dibiarkan tergantung tanpa keadilan walaupun kerajaan memberi jaminan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kes ini bukan baru, sudah tiga tahun berjalan namun belum ada keadilan, sampai bila mahu tunggu.

“Tolong segerakan, saya terbayang ahli keluarga dan ibu bapa arwah yang setia menunggu keadilan.

“Ini soal nyawa dan maruah, bukan perkara kecil yang boleh diabaikan begitu saja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau merayu kes ini dilihat secara adil dan pemimpin perlu berani menegakkan kebenaran yang sebenar.

“Sepatutnya kes Adib boleh disegerakan memandang beliau adalah penjawat awam yang sanggup serahkan nyawa demi kerjaya yang diamanahkan,”katanya.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat semalam.

Manakala dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.